Fiqh Realiti bermaksud : Ilmu yang membahaskan tentang kefahaman terhadap hal ehwal semasa, faktor-faktor yang mempengaruhi ke atas masyarakat dan negara, serta idea-idea dan strategi bagi menghadapi isu-isu yang mengganggu keutuhan akidah dan syariat Islam, serta jalan bagi memelihara umat Islam daripadanya pada masa kini dan akan datang.Akhir-akhir ini, ramai ulamak semasa membahaskan pelbagai perubahan dan perkembangan yang berlaku ke atas umat Islam. Tidak kira sama ada perubahan dan perkembangan itu berkaitan dengan kemajuan mahupun keadaan menyedihkan umat Islam. Dan akhir-akhir ini timbul satu bentuk perbahasan fiqh iaitu Fiqhul Waqik atau Fiqh Realiti. Ada yang mengatakan bahawa fiqh ini merupakan satu ilmu yang baru, bentuk kajian terkini.
Pada hakikatnya ilmu ini tidak baru dan berasaskan pada Al-Quran, As-Sunnah dan kata-kata golongan salaf. Firman Allah SWT:
Daripada Al-Quran
وَكَذَلِكَ نُفَصِّلُ الْآيَاتِ وَلِتَسْتَبِينَ سَبِيلُ الْمُجْرِمِينَ
maksudnya: Dan demikianlah Kami terangkan ayat-ayat Al-Quran satu persatu (supaya jelas jalan yang benar), dan supaya jelas pula jalan orang-orang yang berdosa.
(surah Al-An’am ayat 55)
Daripada ayat di atas, jelaskan kepada kita bahawa antara tujuan dan dasar ilmu Fiqh Realiti ini ialah untuk mengesan, memantau serta mengetahui perancangan-perancangan serta strategi golongan yang mahu menghancurkan Islam. Begitulah juga banyak ayat-ayat lain yang memperkatakan tentang rancangan dan niat jahat golongan yang engkar kepada Allah. Bahkan Allah menghuraikan dengan sejelas-jelasnya matlamat-matlamat mereka di dalam surah At-Taubah atau diistilahkan juga dengan nama Al-Fadhihah iaitu “membuka keaiban”. Maksudnya ialah membuka keaiban golongan munafiq, tipu daya mereka, kesesatan serta sifat melampau mereka. Hal ini digambarkan oleh Allah dalam banyak ayat dalam surah tersebut seperti firman-firman Allah SWT, antaranya:
1. Mendedahkan bahawa golongan munafiq ini memberatkan diri untuk berjuang di jalan Allah.
وَمِنْهُمْ مَنْ يَقُولُ ائْذَنْ لِي وَلَا تَفْتِنِّي أَلَا فِي الْفِتْنَةِ سَقَطُوا وَإِنَّ جَهَنَّمَ لَمُحِيطَةٌ بِالْكَافِرِينَ
maksudnya: Dan di antara mereka (yang munafik itu) ada yang berkata: "Izinkanlah aku (supaya tidak pergi berperang) dan janganlah engkau menjadikan daku dipengaruhi oleh fitnah ". Ketahuilah, mereka telah pun tercebur ke dalam fitnah (dengan dalihan yang dusta itu). Dan sesungguhnya azab Jahannam meliputi orang-orang yang kafir.
(surah At-Taubah ayat 49)
2. Golongan munafiq sebenarnya bukanlah golongan yang beriman dengan keimanan yang sebenar.
وَيَحْلِفُونَ بِاللَّهِ إِنَّهُمْ لَمِنْكُمْ وَمَا هُمْ مِنْكُمْ وَلَكِنَّهُمْ قَوْمٌ يَفْرَقُونَ
maksudnya: Dan mereka (yang munafik itu) bersumpah dengan nama Allah bahawa sesungguhnya mereka dari golongan kamu, padahal mereka bukanlah dari golongan kamu, tetapi mereka ialah suatu kaum yang pengecut.
(surah At-Taubah ayat 56)
يَحْلِفُونَ بِاللَّهِ لَكُمْ لِيُرْضُوكُمْ وَاللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَقُّ أَنْ يُرْضُوهُ إِنْ كَانُوا مُؤْمِنِينَ
maksudnya: Mereka bersumpah kepada kamu dengan nama Allah untuk mendapat keredaan kamu, padahal Allah dan RasulNya jualah yang lebih berhak mereka mendapat keredaanNya, jika betul mereka orang-orang yang beriman.
(surah At-Taubah ayat 62)
3. Golongan munafiq lelaki dan perempuan menjalankan amar mungkar dan nahi makruf.
الْمُنَافِقُونَ وَالْمُنَافِقَاتُ بَعْضُهُمْ مِنْ بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمُنْكَرِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمَعْرُوفِ
maksudnya: Orang-orang munafik lelaki dan perempuan, setengahnya adalah sama dengan setengahnya yang lain; mereka masing-masing menyuruh dengan perbuatan yang jahat, dan melarang dari perbuatan yang baik,
(surah At-Taubah ayat 67)
4. Golongan munafiq adalah golongan yang memecahbelahkan umat Islam.
وَالَّذِينَ اتَّخَذُوا مَسْجِدًا ضِرَارًا وَكُفْرًا وَتَفْرِيقًا بَيْنَ الْمُؤْمِنِينَ وَإِرْصَادًا لِمَنْ حَارَبَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ مِنْ قَبْلُ وَلَيَحْلِفُنَّ إِنْ أَرَدْنَا إِلَّا الْحُسْنَى وَاللَّهُ يَشْهَدُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ
maksudnya: Dan (di antara orang-orang munafik juga ialah) orang-orang yang membina masjid dengan tujuan membahayakan (keselamatan orang-orang Islam), dan (menguatkan) keingkaran (mereka sendiri) serta memecah-belahkan perpaduan orang-orang yang beriman, dan juga untuk (dijadikan tempat) intipan bagi orang yang telah memerangi Allah dan RasulNya sebelum itu. Dan (apabila tujuan mereka yang buruk itu ketara), mereka akan bersumpah dengan berkata:" Tidaklah yang kami kehendaki (dengan mendirikan masjid ini) melainkan untuk kebaikan semata-mata ". Padahal Allah menyaksikan, bahawa sesungguhnya mereka adalah berdusta.
(surah At-Taubah ayat 107)
Inilah antara ayat-ayat yang dijelaskan oleh Allah SWT berkenaan dengan golongan munafiqin serta segala sikap, rancangan, sifat sebenar serta tindak-tanduk mereka yang hakikat sebenarnya ingkar kepada Allah SWT. Seterusnya pada akhir surah tersebut, Allah SWT menegaskan lagi sifat golongan munafiqin iaitu:
5. Golongan munafiq suka berpura-pura. Firman Allah s.w.t :-
وَإِذَا مَا أُنْزِلَتْ سُورَةٌ نَظَرَ بَعْضُهُمْ إِلَى بَعْضٍ هَلْ يَرَاكُمْ مِنْ أَحَدٍ ثُمَّ انْصَرَفُوا صَرَفَ اللَّهُ قُلُوبَهُمْ بِأَنَّهُمْ قَوْمٌ لَا يَفْقَهُونَ
maksudnya: Dan apabila diturunkan satu surah dari Al-Quran (mendedahkan keburukan orang-orang munafik itu) setengah mereka memandang kepada setengahnya yang lain sambil berkata: "Adakah sesiapa nampak kamu (kalau kita undur dari sini)?" Kemudian mereka berpaling pergi (dengan meninggalkan majlis Nabi); Allah memalingkan hati mereka (daripada iman), disebabkan mereka kaum yang tidak (mahu) mengerti.
(surah At-Taubah ayat 127)
Tidak cukup setakat itu, Allah telah melebarkan lagi huraian berkenaan dengan jahat serta busuknya perancangan orang munafiq seperti dalam surah Al-Baqarah, Al-Ahzab dan lain-lain lagi.
Bagi golongan Yahudi dan mereka yang menyekutukan Allah dengan sesuatu sama ada pada zat, sifat dan perbuatan juga diterangkan oleh Allah banyak dalam Al-Quran. Dan inilah sebenarnya pati dan dasar ilmu Fiqh Realiti yang dijelaskan kepada umat Muhammad SAW. Antara sifat mereka ialah:
1. Golongan Yahudi adalah golongan yang suka membuat pendustaan. Firman Allah s.w.t :-
وَإِذَا لَقُوا الَّذِينَ ءَامَنُوا قَالُوا ءَامَنَّا وَإِذَا خَلَا بَعْضُهُمْ إِلَى بَعْضٍ قَالُوا أَتُحَدِّثُونَهُمْ بِمَا فَتَحَ اللَّهُ عَلَيْكُمْ لِيُحَاجُّوكُمْ بِهِ عِنْدَ رَبِّكُمْ أَفَلَا تَعْقِلُونَ
maksudnya: Dan apabila mereka (orang-orang Yahudi pada zaman Rasulullah) bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: "Kami telah beriman"; dan apabila mereka berjumpa sesama sendiri, mereka berkata: "Patutkah kamu ceritakan kepada mereka (orang-orang Islam) dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah kepada kamu (di dalam Kitab Taurat mengenai kebenaran Nabi Muhammad) untuk menjadikannya hujah (bukti) yang dapat mengalahkah kamu di sisi Tuhan kamu? Tidakkah kamu berakal?"
(surah Al-Baqarah ayat 76)
2. Orang Yahudi dan Nasrani tidak sesekali redha kepada umat Islam.
وَلَنْ تَرْضَى عَنْكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَى حَتَّى تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ
maksudnya: Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu).
(surah Al-Baqarah ayat 120)
3. Mereka sebenarnya mengetahui kebenaran Islam tetapi tidak mengakui hakikat tersebut.
الَّذِينَ ءَاتَيْنَاهُمُ الْكِتَابَ يَعْرِفُونَهُ كَمَا يَعْرِفُونَ أَبْنَاءَهُمْ وَإِنَّ فَرِيقًا مِنْهُمْ لَيَكْتُمُونَ الْحَقَّ وَهُمْ يَعْلَمُونَ
maksudnya: Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang Kami berikan Kitab itu mengetahui serta mengenalinya (Nabi Muhammad dan kebenarannya) sebagaimana mereka mengenal anak-anak mereka sendiri.
(surah Al-Baqarah ayat 146)
Ayat-ayat di atas menjelaskan kepada kita realiti dan keadaan orang Yahudi. Begitulah juga Allah menjelaskan kepada kita waqik golongan Nasrani atau kristian dengan firman-Nya:
1. Golongan Nasrani mengingkari janji mereka.
وَمِنَ الَّذِينَ قَالُوا إِنَّا نَصَارَى أَخَذْنَا مِيثَاقَهُمْ فَنَسُوا حَظًّا مِمَّا ذُكِّرُوا بِهِ فَأَغْرَيْنَا بَيْنَهُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ
maksudnya: Dan di antara orang-orang yang berkata:" Bahawa kami ini orang-orang Nasrani", Kami juga telah mengambil perjanjian setia mereka, maka mereka juga melupakan (meninggalkan) sebahagian dari apa yang diperingatkan mereka dengannya, lalu Kami tanamkan perasaan permusuhan dan kebencian di antara mereka, sampai ke hari kiamat
(surah Al-Maidah ayat 14)
Tentang golongan musyrikin pula Allah nyatakan sifat-sifat mereka. Antara lain:-
1. Golongan musyrikin tidak mendapat petunjuk dan hidayah Allah. Firman Allah s.w.t :-
أَجَعَلْتُمْ سِقَايَةَ الْحَاجِّ وَعِمَارَةَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ كَمَنْ ءَامَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَجَاهَدَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ لَا يَسْتَوُونَ عِنْدَ اللَّهِ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ
maksudnya: Adakah kamu sifatkan hanya perbuatan memberi minum kepada orang-orang yang mengerjakan Haji, dan (hanya perbuatan) memakmurkan Masjid Al-Haraam itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta berjihad pada jalan Allah? Mereka (yang bersifat demikian) tidak sama di sisi Allah, dan Allah tidak memberikan hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim.
(surah At-Taubah ayat 19)
2. Golongan musyrikin tidak berhak memakmurkan masjid-masjid. Firman Allah s.w.t :-
مَا كَانَ لِلْمُشْرِكِينَ أَنْ يَعْمُرُوا مَسَاجِدَ اللَّهِ شَاهِدِينَ عَلَى أَنْفُسِهِمْ بِالْكُفْرِ أُولَئِكَ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ وَفِي النَّارِ هُمْ خَالِدُونَ
maksudnya: Tidaklah layak orang-orang kafir musyrik itu memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah, sedang mereka menjadi saksi (mengakui) akan kekufuran diri mereka sendiri. Mereka itu ialah orang-orang yang rosak binasa amal-amalnya dan mereka pula kekal di dalam neraka.
(surah At-Taubah ayat 17)
Dan Allah telah menjelaskan kepada kita bahawa golongan Yahudi, Nasrani dan Munafiq berkerja menghancurkan Islam secara bersendirian, bahkan Allah menceritakan kepada kita bahawa mereka bekerjasa dan bersatu dalam berhadapan dengan Islam sebagaimana kerjasama golongan Munafiq dengan golongan Ahli Kitab Yahudi dan Nasrani firman-Nya:
أَلَمْ تَر إِلَى الَّذِينَ نَافَقُوا يَقُولُونَ لِإِخْوَانِهِمُ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ لَئِنْ أُخْرِجْتُمْ لَنَخْرُجَنَّ مَعَكُمْ وَلَا نُطِيعُ فِيكُمْ أَحَدًا أَبَدًا وَإِنْ قُوتِلْتُمْ لَنَنْصُرَنَّكُمْ
maksudnya: Tidakkah engkau melihat dan merasa hairan (wahai Muhammad) terhadap sikap orang-orang munafik itu? Mereka tergamak berkata kepada saudara-saudara mereka yang kafir dari kalangan (kaum Yahudi) ahli Kitab: "Sesungguhnya, kalau kamu dihalau keluar sudah tentu kami akan keluar bersama-sama kamu, dan kami tidak akan tunduk taat kepada sesiapapun untuk menentang kamu selama-lamanya; dan kalau kamu diperangi, sudah tentu kami akan membela kamu!" Padahal Allah mengetahui dan menyaksikan bahawa sebenarnya mereka adalah pendusta.
(surah Al-Hasyr ayat 11)
Sebenarnya banyak lagi ayat-ayat Al-Quran yang menjelaskan kepada kita akan kepentingan Fiqhul Waqik ini. Apa yang saya sebutkan di atas adalah sebahagian contoh-contoh ayat sebagai isyarat bahawa Allah s.w.t mengajar kita ilmu ini.
Daripada As-Sunnah
Daripada Sunah juga banyak perkara dan peristiwa yang menjelaskan akan kepentingan kita mempelajari dan mengetahui realiti yang berlaku di persekitaran kita.
Dalam peringkat awal dakwah Baginda kepada umat Islam di Makkah, Rasulullah dan umat Islam pada waktu itu ditindas hingga terpaksa menahan lapar dan dahaga. Mereka dikepung beberapa lama hingga disekat segala bekalan makanan dan keperluan harian. Akhirnya, apabila melihat keadaan seperti ini perlu dielakkan dan dicari jalan bagi menyelamatkan umat Islam pada waktu itu, Rasulullah mengarahkan kepada para sahabat agar berpindah ke Habsyah. Persoalannya, mengapa Rasulullah menyuruh para sahabat ke Habsyah? Mengapa tidak ke negara-negara lain seperti Rom, Parsi dan tempat-tempat lain?
Maka apabila ditanya kepada Rasulullah sebab perlu berhijrah ke Habsyah, Rasulullah bersabda:
إن فيها ملكا لايظلم عنده احد
maksudnya: sesungguhnya di sana terdapat seorang raja yang tidak pernah menzalimi rakyatnya sepanjang pemerintahannya.
Daripada kejadian ini, jelaslah kepada kita bahawa dakwah yang dijalankan mengikut marhalah-marhalah yang sesuai dengan waqik semasa yang berlaku ketika itu. Begitu juga kita dapati bahawa Rasulullah memilih Yathrib (Madinah) sebagai tempat berhijrah merupakan satu perancangan dan tuntutan yang bersesuaian dengan persekitaran, uslub, dan suasana yang berlaku pada waktu itu. Hal ini juga dibuktikan dengan perutusan Mua’z Bin Jabal ke Yaman seperti sabda Nabi SAW:
إنك تأتي قوما أهل كتاب
maksudnya: sesungguhnya kamu akan mendatangi sesebuah kaum Ahli Kitab di Yaman kelak.
Kemudian Rasulullah menyambung lagi dengan sabdanya:
فليكن أول ما تدعوهم إليه ألاإله إلا الله
maksudnya: maka perkara pertama yang perlu engkau sampaikan kepada mereka wahai Mua’z ialah syahadah iaitu tidak menyembah tuhan kecuali Allah.
Sekiranya dipertikaikan bahawa perkara-perkara di atas ialah berlaku secara kebetulan, maka apa gunanya Allah menegaskan bahawa Rasulullah merupakan ikutan terbaik seperti firman-Nya:
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ
maksudnya: Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)
(surah Al-Ahzab ayat 21)
Sekiranya kita mendalami lagi sirah Rasulullah SAW, kita dapati di sana pernah berlaku peperangan antara Parsi dan Rom sehingga para sahabat juga memberi tumpuan dan mengambil tahu akan peperangan tersebut. Apabila diketahui bahawa Parsi berjaya mengalahkan Rom, para sahabat r.a berasa bersedih. Mereka merasakan bahawa lebih utama Parsi di kalahkan kerana Parsi menyembah api yang sudah jelas bukan daripada agama Allah.
Apabila keadaan ini berlaku, ada seorang daripada orang musyrikin bertaruh dengan Saidina Abu Bakar r.a bahawa Rom akan merampas kembali dan membalas dendam bagi mengalahkan Parsi semula. Orang musyrik itu telah menetapkan pertaruhan tersebut dengan tempoh tertentu. Lalu, Saidina Abu Bakar berjumpa dengan Rasulullah SAW. Lalu Baginda bersetuju untuk menambah tempoh yang dicadangkan oleh orang musyrik tersebut kepada 10 tahun. Lalu turunlah ayat dari surah Ar-Rum 1-5 firman Allah SWT:
الم(1)غُلِبَتِ الرُّومُ(2)فِي أَدْنَى الْأَرْضِ وَهُمْ مِنْ بَعْدِ غَلَبِهِمْ سَيَغْلِبُونَ(3)فِي بِضْعِ سِنِينَ لِلَّهِ الْأَمْرُ مِنْ قَبْلُ وَمِنْ بَعْدُ وَيَوْمَئِذٍ يَفْرَحُ الْمُؤْمِنُونَ(4)بِنَصْرِ اللَّهِ يَنْصُرُ مَنْ يَشَاءُ وَهُوَ الْعَزِيزُ الرَّحِيمُ
maksudnya: 1-Alif, Laam, Miim. 2-Orang-orang Rom telah dikalahkan -3-Di negeri yang dekat sekali; dan mereka sesudah kekalahannya itu akan mengalahkan lawannya -4-Dalam masa tidak sampai sepuluh tahun. Kepada pentadbiran Allah jualah terpulang segala urusan, sebelum berlakunya dan sesudah berlakunya; dan pada ketika berlakunya (kemenangan Rom) itu, orang-orang yang beriman akan bergembira -5-Dengan kemenangan yang diberi Allah. Ia memberi kemenangan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dia lah jua yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.
(surah Ar-Rum ayat 1-5)
Apabila kita lihat peristiwa ini dalam perspektif Fiqh Realiti maka beberapa pengajaran dapat diambil antaranya:
1. Permasalahan yang berlaku adalah antara dua pihak golongan kafir iaitu Parsi dan Rom dan Allah telah semadikan di dalam Al-Quran yang banyak mempengaruhi dan memberi kesan secara langsung kepada kehidupan umat Islam.
2. Keperihatinan umat Islam pada waktu itu terhadap pemasalahan ini iaitu merasa sedih apabila Parsi menang dan gembira apabila Rom menang.
3. Kebersamaan Saidina Abu Bakar r.a terhadap permasalahan ini serta pertaruhannya untuk kemenangan Rom.
4. Iqrarnya (bersetuju) Rasulullah terhadap Saidina Abu Bakar r.a di atas permintaannya agar dipanjangkan tempoh kepada bidh’ah (antara 7-10) tahun.
Sebenarnya permasalahan ini bukanlah persoalan politik semata-mata seperti yang digambarkan oleh kebanyakan pemerhati sejarah, tetapi ia sebenarnya persoalan prinsip. Kemenangan golongan atheis ke atas golongan Ahli Kitab memberi kesan negatif ke atas umat Islam. Manakala kemenangan Rom ke atas Parsi pula merupakan petunjuk kepada kemenangan hak mengalahkan batil. Dengan sebab itu umat Islam ketika itu membenarkan kemenangan Ahli Kitab (Rom) kerana mereka berada di jalan benar.
Timbul pula persoalan yang banyak juga dikemukakan oleh penuntut-penuntut ilmu, lalu saya menjawab:
“Sesungguhnya aku melihat Amerika dan Rusia seolah-olah sama seperti Rom dan Parsi pada masa lalu. Adakah apa yang telah kita lihat situasi itu, sama pada zaman perang dingin…?! Atau kita boleh katakan persoalan ini tidak perlu dan sia-sia..? Setelah itu kita lihat dan membuat penelitian kesudahan perang dingin itu memberi sedikit sebanyak kesan kepada umat Islam. Atau adakah kita mudah saja hanya mengatakan kufur itu agama yang satu…?”
Setelah berlaku kemenangan kepada pihak komunis, adakah kita tidak berasa gembira dengan kemenangan tersebut yang dianggap sebagai satu petanda dan alamat kemenangan kepada masyarakat timur?! Lalu apabila kita mengkaji lagi, persoalan pertembungan antara timur dan barat, yang kemudiannya kemenangan berpihak kepada barat, maka pada masa akan datang pula akan berlaku pertembungan barat yang yang dikuasai oleh Kristian dengan timur yang dikuasai oleh orang Islam?!!
Dan di sinilah pada akhirnya kemenangan berpihak kepada Islam dengan izin Allah seperti mana dimenangkan Rom yang Kristian ke atas Parsi yang menyembah api. Kemudian dimenangkan Islam ke atas Ahli Kitab. Begitu juga dimenangkan barat yang menganut Kristian ke atas negara timur yang tidak mempercayai tuhan dan akhirnya dimenangkan Islam dengan izin Allah ke atas Ahli Kitab seperti firman Allah:
وَاللَّهُ غَالِبٌ عَلَى أَمْرِهِ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ
maksudnya: Dan Allah Maha Kuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkanNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.
(surah Yusof ayat 21)
Kesimpulannya selepas dijelaskan asas-asas ilmu ini daripada Al-Quran dan As-Sunnah, maka saya ingin menunjukkan bagaimana golongan-golongan yang terdahulu daripada kita (salaf) mengambil berat terhadap hal ini. Begitulah yang ditunjukkan oleh Saidina Abu Bakar r.a terhadap persoalan Parsi dan Rom, di mana para sahabat r.a mengikuti perkembangan semasa pada waktu itu dengan baik sehingga mereka berasa gembira dan bersedih. Mereka bersikap demikian kerana mereka tahu dan faham akan kesan dan pengaruh yang mempengaruhi umat Islam sama ada pada waktu itu dan pada masa mendatang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan