25 April 2010

Peperangan Hittin – Contoh Praktikal Manhaj Solahuddin

Setelah berjaya mengumpulkan kekuatan ummah, Solahuddin menunggu masa yang sesuai untuk membebaskan Baitul Maqdis dan Masjid al-Aqsa. Peperangan Hittin adalah satu petanda besar kepada kemenangan berikutnya di dalam siri-siri peperangan di antara tentera Islam dan tentera salib sebelum pembebasan Baitul Maqdis.
Sebelum berlakunya peperangan Hittin, Pemerintah Salib di Al-Karak yang bernama Arnold (sempadan Jordan-Palestin) telah menyerang kafilah dagangan Muslim pada tahun 582H/1187M. Beliau telah merampas barang-barang dagangan dan peniaga-peniaga Muslim pula telah ditawan walaupun kawasan dagangan ini telah mempunyai ikatan perjanjian damai.
Kubu tentera Salib di Karak, Jordan.
Arnold dengan angkuhnya telah mengatakan kepada para pedagang tersebut: “If you believe in Muhammad, call him to release you and free you from captivity” (Sekiranya kamu beriman kepada Muhammad, sila panggil dia dan membebaskan kamu daripada tawanan ini).
Solahuddin merasa amat tercabar dengan kebiadaban perbuatan dan ungkapan Arnold terhadap Rasulullah s.a.w. Beliau berazam untuk menewaskan tentera Arnold dan seterusnya memancung kepala beliau. Solahuddin telah membuat persiapan secukupnya dengan tentera seramai 12 ribu orang. Mereka keluar berhadapan dengan musuh yang berjumlah seramai 63 ribu orang di dalam peperangan ini.
Langkah pertama beliau ialah untuk mempastikan jamaah haji Mesir yang melalui jalan tersebut selamat. Langkah seterusnya, beliau bersama tenteranya keluar menuju ke Hittin pada 4 Julai tahun 1187 M/583H dan berjaya mengalahkan musuh pada 7 Julai 1187M dalam satu peperangan yang amat dahsyat. Seramai 30 ribu tentera Salib telah terkorban dan selebihnya menyerah diri kepada tentera Islam.
Solahuddin menyambut kemenangan tersebut dengan bersujud, berzikir dan membaca al-Quran. Beliau sendiri kemudiannya telah memancung Arnold, pemerintah al-Karak yang banyak memperdayakan perjanjian damai di antara Islam dan Salib selama ini dan Arnold juga telah berlaku biadab terhadap Rasulullah s.a.w. Namun begitu Solahuddin telah memberikan keamanan dan pembebasan kepada tentera Salib dan ahli kitab yang lain.
Kemenangan peperangan Hittin telah membuka jalan mudah kepada Solahuddin untuk menawan Baitul Maqdis. Hajat Solahuddin yang terbesar iaitu untuk menawan kembali Baitul Maqdis akhirnya tercapai pada hari Jumaat, 15 Oktober 1187 atau 27 Rejab 583H , iaitu pada hari Isra’ dan Mi’raj. Solahuddin dan tenteranya berjaya memasuki Baitul Maqdis dan umat Islam kembali memiliki Masjid al-Aqsa setelah 88 tahun ianya dijajah tentera Salib.
Ini adalah hari kemenangan atas kemenangan. Orang ramai dan pemimpin-pemimpin umat Islam datang untuk merayakan kemenangan ini. Laungan takbir, tahmid dan tasbih telah bergema ke angkasa.
Empayar Islam di zaman Solahuddin.
Bukti-bukti Kejayaan Perjuangan Solahuddin
Solahuddin bersama generasinya telah membuktikan bahawa umat Islam boleh menang walaupun ketika berhadapan dengan pihak musuh yang mempunyai kekuatan berlipat kali ganda, sekiranya mereka berjuang dengan menggunakan kaedah yang betul dan memenuhi syarat-syarat yang diperlukan. Di antara bukti-bukti kejayaan yang telah ditunjukkan oleh generasi Solahuddin ialah:-
  1. Berjaya membebaskan Palestin sepenuhnya.
  2. Berjaya mengalahkan 22 kerajaan Eropah.
  3. Mengharungi 74 peperangan dan memenanginya.
  4. Membebaskan 50 bandar dan daerah di Palestin.
Palestin Antara Semalam Dan Hari Ini
1) Kelemahan umat di sudut kejiwaan dan kerohanian.
Di antara sebab utama kemenangan generasi Solahuddin di dalam peperangan Hittin adalah kerana kecemerlangan akhlak dan kehebatan rohani di kalangan umat Islam di zaman tersebut. Manakala kekalahan umat Islam kini kepada Zionis adalah kerana keruntuhan moral dan kelemahan rohani mereka sendiri.
Umar al-Khattab pernah berpesan kepada Saad Bin Abi Waqqas,”Aku berpesan kepada kamu supaya bertaqwa kepada Allah kerana taqwa adalah sebaik-baik bekalan untuk menentang musuh. Aku menyeru kamu dan mereka yang bersama kamu supaya menjauhi maksiat kerana maksiat adalah kunci kemenangan musuh ke atas kita”.
2) Perpecahan, pertelagahan dan permusuhan sesama umat Islam.
Di antara kunci kepada kemenangan di Hittin ialah kesatuan umat Islam di bawah satu pemerintahan. Manakala kekalahan kita kepada Yahudi hari ini adalah kerana perbezaan, perselisihan dan pertembungan umat Islam sesama sendiri.
Zionis hari ini bekerja di waktu siang dan malam untuk mengejar cita-cita mereka dan meluaskan empayar mereka dari Sungai Nil di Mesir sehingga ke Sungai Furat di Iraq. Manakala umat Islam pula sentiasa berpecah-belah, malahan menjadikan barat sebagai rujukan mereka.
3) Mengambil berat isu Palestin hanya dengan ucapan dan bukan dengan tindakan sebenar.
Solahuddin bersama generasinya bekerja siang dan malam membuat persiapan lengkap dengan penuh bersemangat di atas isu yang satu iaitu pembebasan Baitul Maqdis. Manakala kekalahan umat Islam kini dan kegagalan mereka berhadapan dengan Zionis adalah kerana mereka hanya pandai berbicara ataupun hanya pandai berpidato yang mengkagumkan.
Ucapan dan pidato mereka yang mengkagumkan itu hanya diikuti dengan tepukan atau sorakan tanpa diikuti dengan tindakan atau langkah-langkah yang membina bagi mendapatkan semula Palestin daripada cengkaman dan penjajahan kejam rejim Zionis.
4) Menjadikan isu Palestin sebagai permasalahan bangsa Arab dan bukan sebagai masalah Islam dan umatnya.
Solahuddin bersama generasinya berjuang demi agama Allah. Mereka bersatu di atas satu isu iaitu pembebasan Masjid al-Aqsa dan Baitul Maqdis. Mereka telah berjihad bersungguh-sungguh untuk meletakkan Islam pada tempatnya.  Manakala umat Islam kini menganggap bahawa isu ini adalah isu bangsa Palestin sahaja ataupun isu ini adalah hanya isu orang Arab semata-mata.
Kesimpulan
  • Permasalahan Palestin dan Masjid Al-Aqsa adalah isu perdana bagi umat Islam di seluruh dunia. Ianya tidak terhad untuk bangsa Palestin atau  orang-orang Arab sahaja. Umat Islam di Malaysia mesti diberikan kesedaran dan kefahaman yang betul mengenai isu ini.
  • Kebangkitan umat hanyalah dengan mencontohi generasi al-Quran. Ini adalah kunci kepada kemenangan yang sebenar.
  • Kemenangan Solahuddin ke atas tentera Salib bukanlah disebabkan oleh kehebatan keperibadiannya semata-mata tetapi adalah kerana kecemerlangan generasi yang telah dibinanya, yang telah diasaskan oleh barisan pimpinan dan juga para ulama sebelumnya.
  • Intifadah Palestin kini semakin menunjukkan tanda-tanda kemenangan umat di dalam agenda membela al-Aqsa.
  • Kemenangan umat adalah sesuatu yang pasti, sebagaimana generasi sebelumnya. Persoalannya ialah, apakah persiapan dan sumbangan kita ke arah kemenangan ini?

Tiada ulasan: