Assalamualaikum.. Salam Ramadhan
Kini kita hampir masuk ke fasa bulan ramadhan, maka bermulalah episod kita sebagai hamba Allah untuk bermuhasabah diri. Sebagai umat Islam, kita perlu merebut peluang yang ada untuk memperbanyakkan amal ibadat kepada Allah SWT. Amal ibadat adalah seperti berzikir, bersedekah dan membaca al-Quran. Jika kita menelusuri sirah Nabi Muhammad SAW, kita mendapati bahawa Rasulullah amat menitikberatkan ibadat pembacaan al-Quran dan mengutamakan ia apabila masuk Ramadan.
Ibnu ‘Abbas ra berkata:
“Nabi SAW adalah manusia terbaik, dan Baginda menjadi lebih baik apabila datangnya Ramadan ketika Jibril bertemu Baginda pada setiap malam dalam bulan Ramadan untuk bertadarus al-Quran. Baginda akan membacanya dengan amat baik seperti angin yang bertiup lembut.” (HR Imam al-Bukhari dan Muslim).
Melalui hadis ini Imam Ibnu Rejab menyatakan disunatkan seseorang itu mempelajari al-Quran pada Ramadan di samping mengajak manusia lain bersama-sama membacanya dan disunatkan juga untuk memperdengarkan bacaan kepada mereka yang lebih elok bacaannya.
“Tidak akan beroleh kefahaman bagi sesiapa yang mengkhatam al-Quran kurang daripada tiga hari.” (Hadith Sahih Riwayat Imam Abu Daud).
Hadis ini juga menunjukkan bahawa Rasulullah sering kali bertadarus al-Quran pada waktu malam kerana pada waktu itu adalah masa yang tenang untuk jiwa manusia melakukan ibadat dan menghayati setiap ayat al-Quran yang dibaca.
Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya ibadat pada waktu malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa) dan lebih baik bacaannya.” (Surah al-Muzzammil ayat enam).
Dalam hadis lain puteri Baginda iaitu Fatimah ra menceritakan bahawa Baginda bertadarus al-Quran bersama Jibril sekali dan pada tahun kewafatan baginda bertadarus bersama Jibril dua kali.”(HR Imam al-Bukhari dan Muslim).
Melalui contoh ditunjukkan Rasulullah ini, maka sahabat dan ulama silam berlumba-lumba memperbanyakkan bacaan al-Quran terutama pada malam sepanjang Ramadan. Diceritakan bahawa bumi Madinah al-Munawwarah pada malam Ramadan dihiasi dengan alunan merdu bacaan al-Quran oleh sahabat.
Mereka memperbanyakkan dan memperelokkan bacaan al-Quran disamping menghayati maknanya, lantas dipraktikkan penghayatan itu dalam kehidupan harian mereka sebagai hamba Allah SWT.
Imam Nawawi menyatakan antara sahabat yang memperbanyakkan bacaan al-Quran adalah Uthman bin ‘Affan, Tamim al-Daariy dan Said bin Jubair yang mana mereka khatam al-Quran dalam solat mereka di hadapan Kaabah pada setiap rakaat solat mereka.
Diceritakan juga Imam Syafi’e khatam al-Quran pada Ramadan sebanyak 60 kali. Dalam Kitab ‘Aun al-Ma’bud dinyatakan bahawa ada di kalangan salafussoleh khatam al-Quran setiap sebulan, dua puluh hari, sepuluh hari, seminggu, tiga hari dan sehari.
Bukankah terdapat larangan mengkhatam al-Quran kurang daripada tiga hari?
Dalam hadis Nabi SAW bersabda :
“Tidak akan beroleh kefahaman bagi sesiapa yang mengkhatam al-Quran kurang daripada tiga hari.” (Hadith Sahih Riwayat Imam Abu Daud).
Jika kita melihat daripada mafhum hadis ini maka kita akan dapati bahawa khatam al-Quran kurang daripada tiga hari seolah-olah dilarang Nabi Muhammad SAW.
Dalam menjawab persoalan ini Ibnu Hajar al-‘Asqalani berkata: “Telah diriwayatkan golongan salafussoleh bahawa mereka mengkhatam al-Quran lebih cepat daripada tiga hari.
Namun, larangan dalam hadis ini tidak menunjukkan kepada pengharaman. Justeru, khatam al-Quran bergantung kepada situasi sahabat dan ulama terdahulu. Namun Imam Nawawi menyatakan bahawa kebanyakan salafussoleh akan khatam al-Quran setiap daripada tujuh hari iaitu selama seminggu.
Perlulah untuk kita semua membaca al-Quran dengan penuh sopan dan tertib. Seelok-eloknya bacalah dengan adanya tadabbur, iaitu dengan menghayati setiap ayat-ayat al-Quran itu.
Walaupun sahabat mampu mengkhatam al-Quran dalam masa satu hari, tetapi mereka membacanya dengan tadabbur iaitu faham dan menghayati makna ayat tersebut. Bagi sebahagian kita yang tidak memahami Bahasa Arab dan tidak faham isi kandungan al-Quran maka sewajarnya kita mengubah cara pembacaan kita.
Jika sebelum ini kita hanya membaca al-Quran tanpa mengetahui maknanya, maka bermula pada Ramadan kali ini cubalah untuk memahami maknanya dengan melihat terjemahan al-Quran.
Jadual baca al-Quran
Masa khas membaca. Gunakan waktu terluang pada Ramadan ini terutama selepas solat fardu. Jika mampu mengkhatam 30 juzuk al-Quran, maka itu adalah lebih baik.
Masa untuk tadabbur al-Quran. Disarankan membaca terjemahan mahupun tafsir al-Quran. Bagi mereka sibuk dengan kerjaya cukuplah hanya membaca terjemahan al-Quran satu muka sehari secara konsisten.
Menggunakan masa mengulangi hafalan al-Quran. Gunakan waktu antara selepas bersahur hingga masuk Subuh untuk mengulangi hafalan surah lazim dan pendek.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan