MAKSUD PERGAULAN
Maksud pergaulan di sini ialah bergaul atau bercampur antara lelaki dan wanita ajnabi (yang sah kahwin) di satu tempat dalam bentuk pandang memandang, perbualan atau sebarang bentuk interaksi yang lain.
HUKUM ASAL PERGAULAN
Hukum asal pergaulan antara lelaki dan wanita ajnabi (yang sah kahwin) adalah haram tetapi ianya tidak bersandarkan nas yang jelas (sorih) secara langsung. Hukum asal haram ini diasaskan kepada hukum lain yang dikhususkan kepada kaum wanita kerana di dalamnya terdapat unsur-unsur pergaulan di antara lelaki dan wanita ajnabi (sah kahwin). Antara hukum yang dimaksudkan ialah:
1. Larangan Berkhalwat dan Musafir tanpa mahram yang didasarkan kepada hadis-hadis berikut:
Hadis riwayat Imam Bukhari yang bermaksud: “Perempuan tidak harus musafir kecuali ada bersamanya mahram dan lelaki tidak harus masuk (dalam rumah) perempuan kecuali ada bersamanya mahram”
Hadis riwayat Imam Muslim yang bermaksud: “ Lelaki tidak harus berkhalwat dengan perempuan kecuali bersamanya mahram dan tidak harus bermusafir kecuali bersamanya mahram”.
Kedua-dua hadis ini melibatkan pengharaman khalwat dan larangan bergaul yang boleh difahami daripada larangan ke atas wanita mengerjakan haji tanpa mahram kerana
perbuatan tersebut mendedahkannya kepada pergaulan dengan lelaki.
2. Hukum wanita solat Jemaah di Masjid
Solat jemaah di masjid digalakkan kepada lelaki tidak kepada wanita. Malah, lebih afdhal bagi wanita untuk solat di rumah berbanding dengan di masjid. Keharusan solat di masjid bagi wanita terikat dengan syarat-syarat. Antara syaratnya ialah keizinan suami atau wali, tidak berhias dan tidak memakai bau-bauan dan tidak bercampur gaul antara lelaki dan wanita. Saf bagi wanita pula ialah mesti di belakang saf lelaki. Penentuan syarat-syarat ini menunjukkan bahawa pergaulan antara lelaki dan wanita adalah haram. Jika dalam solat yang suasananya penuh taqwa, jauh daripada fitnah pun wanita tidak dibenarkan bergaul dalam satu saf dengan lelaki, apatah lagi dalam situasi lain yang jauh lebih tidak taqwa dan lebih terdedah kepada fitnah, maka sudah tentu ianya lebih-lebih ditegah.
Sandaran hukum di atas telah menjelaskan bahawa hukum asal pergaulan antara lelaki dan wanita ajnabi (sah nikah) adalah haram. Ia turut disokong oleh kaedah Fiqh iaitu Sadd al-Zari’ah (menutup pintu-pintu fitnah). Kaedah Fiqh iaitu al-Asl fi al-Asyia’ al-Ibahah (Asal kepada sesuatu ialah harus) tidak dapat digunakan untuk menyatakan hukum asal adalah harus kerana nas-nas yang dikemukakan tadi secara tidak langsung telah mengandungi unsur larangan berlakunya pergaulan antara lelaki dan wanita ajnabi (sah kahwin). Namun begitu, walaupun hukum asalnya adalah haram, dalam situasi dan keadaan tertentu hukum tersebut boleh berubah menjadi harus tetapi masih terikat dengan peraturan dan syarat-syarat yang ditetapkan oleh syariat. Keadaan dan situasi yang dimaksudkan ialah darurah, hajat (keperluan), maslahah syarie dan kebiasaan adat setempat.
Batasan pergaulan antara lelaki dan wanita yang diharuskan tetapi masih terikat dengan peraturan syariat ialah:
1. Kerana darurat
Pergaulan antara lelaki dan wanita tidak dibenarkan kecuali dalam keadaan darurat. Contoh: Seorang perempuan bersendirian dalam perjalanan yang mungkin mendedahkannya kepada bahaya. Keadaan ini membolehkan seorang lelaki ajnabi bersamanya dengan sekadar untuk membantu dan melindunginya daripada bahaya tanpa ada tujuan lain.
2. Kerana Keperluan / kemaslahatan
Pergaulan antara lelaki dan wanita kerana hajat atau keperluan syarie dibolehkan. Antaranya pergaulan bertujuan mengurus muamalah maliyah (urusan harta ) seperti jual beli, pergaulan kerana bekerja, pergaulan kerana menjadi saksi dan juga pergaulan kerana berada dalam satu kenderaan awam bertujuan syarie, bukan untuk melakukan maksiat seperti keluar untuk ke tempat kerja, ziarah keluarga dan sebagainya serta kerana belajar. Tetapi pengasingan tempat belajar adalah lebih baik berdasarkan kaedah sadd al-zari’ah (menutup pintu-pintu fitnah).
3. Kerana mengikut adat dan kebiasaan dalam majlis-majlis.
Pergaulan antara lelaki dan wanita dalam majlis seperti kenduri dan sebagainya. Tetapi lebih baik jika dapat diasingkan antara lelaki dan wanita ketika makan dan lain-lainnya supaya menutup pintu-pintu fitnah (sadd al-zari’ah)
Tiga sebab keharusan berlaku pergaulan antara lelaki dan wanita ajnabi tersebut tidak secara mutlak tetapi terikat dengan peraturan dan syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarak bagi mengelak berlakunya fitnah yang besar.
Antara peraturan syariah yang mesti diikuti bagi mengharuskan pergaulan dalam keadaan-keadaan tertentu yang dinyatakan di atas ialah:
1. Menundukkan PandanganFirman Allah SWT di dalam surah an- Nur, ayat 30 dan 31. Maksudnya:
“Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka.”
“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka”.
2. Menutup Aurat;
Firman Allah SWT di dalam surah an-Nur, ayat 31. Maksudnya:
“Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka”.
Maksud “kecuali yang zahir daripadanya” ialah sesuatu yang pada adat atau kebiasaannya dapat dilihat dan sukar untuk disembunyikan termasuk baju luar, muka, dua tapak tangan dan perhiasan seperti cincin dan gelang tangan. Perhiasan di rambut dan di kepala adalah haram dan termasuk dalam kategori aurat wanita.
3. Tidak berdua-duaan Antara Lelaki Dan Perempuan
Dari Ibnu Abbas r.a. berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda:
“Janganlah seorang lelaki berdua-duaan (khalwat) dengan wanita kecuali bersama mahramnya”.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dari Jabir bin Samurah berkata; Rasulullah SAW bersabda: Janganlah salah seorang dari kalian berdua-duaan dengan seorang wanita, kerana syaitan akan menjadi orang ketiganya.
(Hadis Riwayat Ahmad dan Tirmidzi)
4. Tidak Melunakkan Ucapan
Wanita dilarang melunakkan ucapannya ketika berbicara selain kepada suaminya. Firman ALLAH SWT di dalam surah al-Ahzab, ayat 32, maksudnya:
Wahai isteri-isteri Nabi! Kamu semua bukanlah seperti mana perempuan-perempuan yang lain jika kamu tetap bertaqwa. Janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya, berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).)
Imam Ibnu Kathir mantafsirkan ayat di atas dengan menyatakan bahawa ianya adalah beberapa etika yang diperintahkan oleh Allah kepada para isteri Rasulullah SAW dan juga kepada para wanita mukminah iaitu hendaklah berbicara dengan orang lain (lelaki) tanpa suara merdu iaitu janganlah seorang wanita berbicara dengan orang lain sebagaimana dia berbicara dengan suaminya.
5. Tidak Bersentuhan Antara Lelaki dan Wanita Ajnabi (Sah Kahwin)
Dalam pergaulan antara lelaki dan wanita ajnabi (sah kahwin), tidak dibenarkan berlaku sentuh menyentuh, pegang memegang, cuit mencuit dan seumpamanya walaupun dalam keadaan bergurau dan hubungan yang rapat termasuk bertunang.
Dari Maqil bin Yasar r.a., Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sekiranya ditikam di kepala
seseorang kamu dengan sebatang besi adalah lebih baik baginya dari menyentuh kulit wanita yang tidak halal untuk disentuh.”
(Hadis Riwayat Baihaqi) .
Dari Abu Hurairah r.a. dari Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: Sesungguhnya Allah menetapkan untuk anak adam bahagiannya dari zina, yang pasti akan mengenainya. Zina mata dengan memandang, zina lisan dengan berbicara, sedangkan jiwa berkeinginan serta berangan-angan, lalu faraj yang akan membenarkan atau mendustakan semuanya.
(Hadis Riwayat Imam Bukhari, Muslim dan Abu Daud).
Kesimpulan
Pergaulan antara lelaki dan wanita ajnabi adalah dilarang di dalam Islam. Larangan ini lebih kepada menjaga maslahah atau kepentingan manusia itu sendiri. Walau bagaimanapun, kelonggaran diberikan dalam keadaan-keadaan tertentu disebabkan darurat, keperluan dan kemaslahatan serta kebiasaan adat setempat tetapi masih tertakluk kepada garis panduan yang ditetapkan oleh syariat sebagaimana yang telah dinyatakan di atas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan