Assalamualaikum.. Salam Perjuangan
Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah Rabb penguasa Alam yang masih lagi memberikan keizinan untuk menitipkan pesanan dan peringatan buat semua ahli Badan Dakwah dan Rohani Sekolah Menengah Sains Rembau yang dikasihi. Selawat dan salam buat Rasul Junjungan Nabi Besar Muhammad SAW dan para sahabat serta para pendokong aqidah kebenaran yang telah berjuang dan berkorban untuk agama tercinta. Fokus dan tujuan titipan ini disandarkan ialah sebagai satu penguat semangat dan motivasi sebelum menghadapi cabaran dan mehnah pada sesi pengajian yang akan datang bermula januari 2012.
Anak-anak ahli Badan Dakwah dan Rohani
Badan Dakwah dan Rohani atau ringkasnya BADAR merupakan “Badan Induk” bagi persatuan-Badan di Semesra ini. Ia merupakan wadah kegiatan pelajar yang menjadi pembantu utama kepada pentadbir Semesra bagi memastikan bahawa semua kegiatan-kegiatan pelajar sejajar dengan matlamat dan falsafah pendidikan Islam. Perlu difahami bahawa matlamat dan objektif badan dakwah ialah untuk melahirkan angkatan pelajar muslim yang memahami konsep Islam yang sebenarnya, merangkumi kehidupan duniawi dan ukhrawi berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah.Badan dakwah juga berperanan memupuk semangat dan kesedaran berdakwah serta peningkatan kualitinya sehingga lahir satu angkatan pelajar yang berjiwa pendakwah dan sanggup menghadapi cabaran zaman.
Selain bertujuan melahirkan satu generasi pelajar yang benar-benar sihat pemikirannya, rohaninya, dan jasmaninya, Angkatan pelajar ini juga menitikberatkan semua aspek ilmu pengetahuan serta aktif, positif dan matang dalam tindak tanduk yang bersesuaian terhadap ilmu masyarakat, bangsa, agama serta negara.
Badan Dakwah berperanan mendidik pelajar bersifat taqwa, berakhlak dan berkeperibadian Islam yang sejati dan berjiwa pendakwah yang sanggup menghadapi cabaran zaman. Pelbagai aktiviti dan perancangan perlu dibuat dalam usaha memberi peluang kepada pelajar-pelajar mempelajari Al-Quran dan As-Sunnah yang merangkumi semua aspek kehidupan serta melahirkan generasi Islam yang berdisplin, dedikasi, muhibbah, harmoni, dan persaudaraan yang dianjurkan oleh Islam.
Kita lihat sebelum ini banyak cabaran dan dugaan yang telah ditempuh dan sayugianya kita mengambil pengajaran dan iktibar daripada apa yang telah kita lalui. Semoga Badar Semesra akan lebih Berjaya selepas ini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan