26 November 2011

HUKUM MENUNDA SOLAT ?

Assalamualaikum.. Salam Perjuangan

Soalan: Ustaz, apakah hukumnya kita menunda solat dengan alasan untuk bersukan atau berolahraga?

Jawapan : Hukum asal menunda solat (ta`khir as-solah) adalah boleh (ja`iz/mubah) jika ia tidak sampai terkeluar atau luput daripada waktu solat tersebut. Kewajiban untuk menunaikan solat dalam istilah fiqih disebut sebagai kewajiban muwassa’, yakni kewajiban yang mana waktu untuk melaksanakannya boleh dipilih pada bila-bila masa selagimana ia masih dalam tempohnya, sama ada di awal waktu, pertengahan ataupun di akhir waktu. (Ali Raghib, Ahkamus Solah, hlm. 18).

Namun yang lebih utama (afdhal) untuk mengerjakan solat adalah pada waktu ikhtiyar, yakni waktu yang disunnahkan untuk melakukannya, misalnya mengerjakan solat Isyak antara awal masuknya waktu isyak (iaitu tenggelamnya mega merah) sehingga ke pertengahan malam (nisf al-lail). Waktu solat selepas waktu ikhtiyar disebut sebagai waktu jawaz/dharurat/karahah, yakni waktu solat yang tidak disunnahkan lagi, meskipun ia masih boleh untuk dikerjakan. (Mahmud Uwaidhah, Al-Jami’ li Ahkam As Solah, II/12).


Oleh itu, menunda solat dengan alasan untuk bersukan atau berolahraga hukumnya adalah boleh (ja'iz/mubah) selagimana penundaan solat tersebut tidak sampai kepada terkeluar atau luputnya waktu solat tersebut. Walaupun sah untuk mengerjakan solat hingga di akhir waktu, namun tidak sepatutnya sikap sebegini dilakukan oleh seseorang Muslim yang taat, terutama sekali jika ia hanya sempat untuk solat satu rakaat sebelum luput waktu solat tersebut dan masuk ke waktu solat yang lain. Seseorang yang sempat untuk solat satu rakaat sebelum luput waktunya memang dianggap telah mendapat sah solat tersebut berdasarkan sabda Nabi SAW:

من أدرك ركعة من الصلاة فقد أدرك الصلاة

“Barangsiapa yang mendapat satu rakaat daripada solat, bererti dia telah mendapat (sah) solat tersebut.” [HR Bukhari].

Namun begitu, walaupun solatnya sah, tetapi dia adalah berdosa kerana terdapat dalil lain yang mencela perbuatan melambatkan solat seperti ini dan dianggap mirip seperti solat orang munafik.
Daripada Anas bin Malik RA, dia berkata, “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda :

تلك صلاة المنافق ، يجلس يرقب الشمس حتى إذا كانت بين قرنَي الشيطان قام فنقرها أربعاً، لا يذكر الله إلا قليلاً

“Itulah solat orang munafik. Dia duduk menunggu-nunggu matahari sehingga apabila matahari berada di antara dua tanduk syaitan (hampir terbenam), dia cepat-cepat solat empat rakaat. Dia tidak mengingati Allah kecuali sedikit.” [HR Muslim]. (Mahmud ‘Uwaidhah, Al-Jami’ li Ahkam As-Solah, II/18).

Adapun jika penundaan solat tersebut dilakukan sehingga terkeluar atau luput daripada waktunya, hukumnya adalah haram sama sekali dan merupakan satu dosa besar. Ini adalah kerana mengerjakan solat dalam waktunya adalah suatu kewajiban yang wajib dipelihara oleh setiap Muslim, sesuai dengan firman Allah SWT:

حافظوا على الصلوات

“Peliharalah segala solatmu.” [TMQ Al-Baqarah (2) : 238].

Daripada Fudhalah RA, Nabi SAW bersabda:

حافظ على الصلوات الخمس

“Peliharalah solatmu yang lima (waktu).” [HR Ahmad dan Abu Dawud].

Tidak dibolehkan sama sekali untuk menunda solat sehingga terkeluar daripada tempoh waktunya kecuali jika terdapat alasan yang dibenarkan syarak (uzur syar'i) seperti tidak sengaja kerana terlupa atau tertidur yang mana diwajibkan untuk qadha', atau kerana dalam perjalanan (musafir) atau hujan yang membolehkan untuk solat jamak ta'khir.

Oleh yang demikian, menunda solat dengan alasan untuk bersukan atau berolahraga hukumnya adalah haram dan berdosa besar jika penundaan solat tersebut dibuat sehingga terkeluar daripada tempoh waktu solat tanpa sebarang uzur syar’i.

Apapun aktiviti atau olahraga yang menyebabkan penundaan solat yang sedemikian rupa hukumnya juga adalah haram berdasarkan kaedah fiqih :
الوسيلة إلى الحرام محرمة

“Sebarang wasilah yang membawa kepada keharaman, maka ia adalah haram” (M. Shidqi Burnu, Mausu’ah Al-Qawa’id Al-Fiqhiyyah, XII/199; Musa Al-Usairi, Ahkam Kurah Al-Qadam fi Al-Fiqh Al-Islami, hlm. 63 & 331; Diyab Al-Ghamidi, Haqiqah Kurah Al-Qadam, hlm. 44).

Sedikit penambahan, tentang perjalanan (musafir) yang dibolehkan untuk jama’ ta`khir adalah jika jarak minimumnya adalah 16 farsakh iaitu kira-kira 88.7 km, dengan syarat perjalanan tersebut tidak disertai dengan kemaksiatan. Jika disertai dengan kemaksiatan, hukum rukhsah (keringanan) untuk melakukan solat jamak tidak dibolehkan, sesuai dengan kaedah fiqih:

الرخص لا تناطى بالمعاصي

“Hukum rukhsah tidak boleh dikaitkan dengan kemaksiatan.” (M. Shidqi Burnu, Mausu’ah Al-Qawa’id Al-Fiqhiyyah, IV/401).

Jika sukan atau olahraga yang dilakukan itu disertai dengan kemaksiatan, misalnya pemain sepak bola tidak menutup aurat antara pusat dan lututnya, atau pelari dan perenang membuka auratnya, maka dia tetap tidak dibolehkan untuk solat jamak, baik taqdim mahupun ta`khir, walaupun statusnya adalah seorang musafir. Wallahu a’lam.

Tiada ulasan: