Cara mengurangkan rasa ego:
* Sedar untuk menerima hakikat mengenai pandangan atau diri sendiri yang tidak sempurna.
* Cuba buka hati mendengar pendapat daripada orang lain yang berbeza. Melalui cara begini, ia sebagai salah satu teknik untuk memperkayakan diri sendiri menggunakan pandangan orang lain bagi mengetahui perkara sebenar.
* Menggunakan kaedah secara lembut atau sopan untuk mendapatkan atau memberi pandangan kepada orang lain. Adab bercakap juga penting supaya perbincangan dikawal dengan akal waras.
* Kawal diri. Jangan menegur atau memberi pandangan dalam keadaan marah. Pastikan kedua-dua belah pihak dalam keadaan bersedia ketika menegur. Jika salah seorang masih dalam keadaan marah atau tertekan, biarkan seketika sehingga kemarahannya kembali reda.
* Ego boleh dibezakan apabila kita mendekatkan diri dengan tuhan dan apabila jauh daripada-Nya, kita akan merasakan diri lebih hebat.
* Justeru, bagi mengawal ego cara terbaik adalah sentiasa mengingati kebesaran Allah.
* Jika anda mahu dihargai kerana sesuatu, cuba kawal perasaan dengan selalu beristighfar dan menyebut nama Allah. Jika hasil kerja anda memang bagus, penghargaan itu akan datang sendiri.
* Jangan `ternak' ego kita. Rasa keegoan hanya akan membuatkan kawan- kawan dan rakan sekerja menjauhkan diri.
* Anda berasa anda lebih baik daripada orang lain? Fikirkan semula. Kalau kita rasa kita cantik, ada beratus ribu orang yang lebih cantik. Kalau merasakan kita bagus, berjuta orang di dunia ini sebenarnya jauh lebih bagus daripada kita.
* Belajar untuk mengurangkan bercakap mengenai diri sendiri atau apa yang anda lakukan.
* Beri peluang orang lain bercakap. Di dunia ini memang ramai yang pandai bercakap tetapi tidak ramai yang bijak mendengar. Jadilah orang dalam kumpulan kedua ini kerana ia secara tidak langsung akan mendidik hati.
* Jadi pemurah. Pepatah Inggeris mengatakan `Jika anda tangkap banyak ikan, tempat terbaik untuk menyimpannya ialah dalam perut orang lain. Islam juga sangat menggalakkan kita bersedekah. Bersedekah bukan saja dapat mendidik hati, malah dapat mengeratkan ukhuwah sesama insan.
* Ringankan mulut untuk berterima kasih. Dua perkataan ini sangat `berkuasa' dalam mendidik rasa ego kita. Sentiasa bersyukur kepada Alllah atas segala kurniaan dan cabaran yang diberikan kepada kita. Berterima kasih kepada sesama manusia, walaupun kanak-kanak atas bantuan yang diberikan tidak kira sekecil mana pun.
Berbanding wanita, rasa ego lelaki memang lebih tinggi. Perselisihan boleh berpanjangan jika rasa ego ini dipupuk dan dibaja. Ada enam cara mengatasi ego lelaki:
1. Dengar apa yang mereka katakan. Seorang lelaki gemar apabila wanita mahu mendengar apa yang mereka katakan. Ini kerana naluri sebagai pemimpin yang sebati dengan jiwa lelaki. Tetapi lelaki juga manusia biasa dan tidak semestinya setiap tindakan atau keputusan mereka tepat. Sekiranya anda tidak bersetuju dengan apa yang dinyatakan, beri bantahan dengan cara yang lembut. Sekiranya dilakukan dengan cara yang kasar berkemungkinan akan membuatkan lelaki turut bertindak keras untuk menjaga egonya.
2. Buat lelaki berasa bijak. Lelaki mementingkan kehormatan diri dan sekiranya anda rasakan pendapat yang diberikan tidak masuk akal, pilih bahasa yang sebaiknya supaya dia tidak terasa hati. Akui dulu pendapatnya, kemudian katakan padanya idea itu akan lebih baik jika digabungkan dengan pandangan anda atau orang lain. Jangan terus menafikan atau menidakkan pendapat mereka kerana ia hanya akan memburukkan keadaan.
3. Buat lelaki berasa seperti jaguh. Tidak dapat dinafikan setiap lelaki di dunia ini mengharapkan diri mereka menjadi hero kepada wanita. Jadikan dia sebagai penyelamat dan sekiranya anda mempunyai masalah namun pasangan tidak dapat membantu, jangan menyembunyikannya. Tanyakan pendapat pasangan atau teman lelaki walaupun anda tahu pandangan si dia selalunya tidak banyak membantu.
4. Pujian. Hanya dengan pujian yang sederhana mampu untuk membantu mengurangkan ego seorang lelaki. Seperti wanita, lelaki juga sukakan pujian.Sekiranya dia sudah berusaha melakukan sesuatu untuk anda, berilah mereka sedikit pujian. Ini akan membuatkan dia merasakan anda begitu menghormatinya. Apabila anda menunjukkan rasa hormat, tidak mustahil untuk dia juga menghormati anda.
5. Pastikan anda berada dalam keadaan yang cantik. Keegoan lelaki akan menurun sekiranya melihat sesuatu yang cantik. Untuk panduan wanita, sekiranya anda sedang dalam situasi perselisihan faham dengan pasangan, pastikan pada waktu perbincangan itu anda berada di dalam keadaan yang cantik. Ini kerana daripada segi psikologi, sekiranya anda berada di dalam keadaan yang tidak terurus atau sebagainya, ia akan menaikkan lagi kemarahan pasangan anda. Berhiaslah secantik mungkin untuk tatapan suami anda.
6. Buat lelaki merasakan tindakan yang dilakukannya betul. Sememangnya agak sukar untuk mengurangkan ego seorang lelaki. Anda perlu bijak untuk membuatkan si dia merasakan dirinya betul walaupun sebenarnya salah. Gunakan kreativiti anda untuk melakukannya. Cuba elakkan daripada memberi bantahan secara terus yang terang-terangan menunjukkan mereka salah. Cuba berikan penjelasan secara kiasan atau bahasa sopan supaya si dia tidak sedar anda membantah apa yang dinyatakannya. Biarlah dia sendiri yang memikirkannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan