RAKAN BADAR SEMESRA

Cari Blog Ini

Memuatkan ...

Translate

16 Mei 2013

Adab Belajar

Assalamualaikum..

Dalam usaha kita untuk menuntut ilmu, seharusnya kita mengetahui dahulu betapa perlunya adab-adab sebelum menuntut ilmu. Perkara ini diperkuatkan lagi dengan kata-kata Ibnul Mubarak dalam sebuah kitab beliau: "Aku memperlajari adab selama tiga puluh tahun dan aku mempelajari ilmu selama dua puluh tahun. Dan adalah mereka (ulama') mempelajari adab kemudian mempelajari ilmu" [Mansuah al Adab al Islamiah : 15]

Pada pandangan saya, perlunya adab dan ilmu boleh diumpamakan seperti 'adunan untuk membuat roti'. Adab diumpamakan seperti gandum dan ilmu diumpamakan seperti garam. Hendaklah kita memperbanyakkan gandum berbanding garam namun nisbah tersebut haruslah sekata supaya gandum dan garam yang diadun sempurna nisbahnya. Dan ketahuilah, memperbanyakkan adab bersama ilmu yang sedikit lebih baik daripada memperbanyakkan ilmu berbanding adab yang sedikit.

Dalil Menuntut Ilmu

Dalam Surah at Taubah ada menyebut bahawa bukan semua di antara kita pergi untuk berjuang (berjihad). Makanya wajib sebahagian di antara kita pergi memperdalamkan ilmu agama. Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang). Oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah)." [At Taubah 9 : 122]

Dan dalam sebuah hadis Rasulullah SAW ada menyebut bahawa sekiranya Allah SWT ingin memberikan hambanya kebaikan, maka Allah SWT akan memberikannya kefahaman dalam agama. Perkara ini yang harus dikejar oleh setiap muslim agar dekat kepada kebaikan yang dijanjikan oleh Allah SWT dengan menuntut ilmu. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Sesiapa yang dikehendaki oleh Allah SWT baginya akan kebaikan, nescaya Allah SWT akan memberinya kefahaman dalam agama" [HR Bukhari dan Muslim]

Adab Menuntut Ilmu

01.Niat yang ikhlas
Menuntut ilmu bukan untuk lulus dalam perperiksaaan, untuk mendapat kerja yang bagus, untuk dikatakan orang yang bijak atau pelbagai lagi niat yang lain melainkan hanya kerana Allah SWT. Daripada Ibn Umar RA sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Sesiapa yang menuntut ilmu kerana selain daripada Allah SWT ataupun menghendaki menuntut ilmu (sebaliknya) selain daripada Allah SWT, maka disediakan tempat duduknya daripada neraka." [HR Tarmizi]

Niat itu sendiri memainkan peranan yang tinggi dalam sesuatu amalan. Setiap amalan kita akan dinilai oleh Allah SWT berdasarkan niat. Maka niatlah segalanya hanya kerana Allah SWT, kerana sesungguhnya Allah SWT tahu apa yang terdetik dalam hati tiap-tiap manusia.


02.Beradab dengan orang yang memberi ilmu
Imam Syafie pernah berkata:"Sesiapa yang ingin dibuka hatinya oleh Allah, maka hendaklah ia berkhalwah, sedikit makan, menjauhi daripada bergaul dengan orang yang bodoh, dan membenci orang yang tidak berlaku adil dan tidak beradab daripada kalangan mereka yang berilmu" [Kitab Majmuk, Syarah Mazhab, jilid 1, m/s 31]

Pada pendapat saya dalam hal beradab dengan guru, ia memerlukan perbahasan yang panjang. Namun secara ringkasnya bagi kita sebagai penuntut, adab-adab ini haruslah disesuaikan mengikut situasi. Janganlah kita terlalu menghormatinya sehinggakan mengakui kesilapan yang guru itu lakukan dan janganlah juga kita terlalu memperlecehkan sehingga guru itu tidak ikhlas dalam memberi ilmu kepada kita. Hormatnya kita akan guru berubah mengikut situasi dimana hormatnya seorang kanak-kanak tadika dengan gurunya berbeza dengan hormatnya mahasiswa dengan pensyarah.

03.Bersabar dalam menuntut ilmu
Imam Syafie pernah berkata:"Tidak diperolehi ilmu kecuali dengan bersabar atas kesengsaraan." [Kitab Muntalaqat Talib al Ilmi, Husin Ya'cob, m/s: 237

04. Tulis setiap yang dipelajari
Sahabat Rasulullah SAW sendiri menulis jika ingin menuntut ilmu, adakah kita lebih baik dari mereka dengan tidak menulis apa yang dipelajari?

Abu Hurairah berkata:
"Tidak ada seorangpun daripada sahabat Rasulullah SAW yang paling banyak meriwayatkan hadis kecuali Abdullah bin Amr bin al Asr, maka sesungguhnya dia telah menulis dan aku tidak menulis" [HR Ahmad dan Baihaqi]

05.Rendah diri
Imam Ahmad bin Hambal berkata:"Kami diperintahkan supaya tawadhu' (rendah diri) kepada siapa yang kami pelajari ilmu daripadanya." [Kitab Muntalaqat Talib al Ilmi, Husin Ya'cob, m/s 274]

06.Menjahui dari kenyang yang berlebihan
Ibn Jama'ah berkata:"Sebesar-besar perkara yang menolong seorang penuntut ilmu dengan kefahaman dan tidak rasa jemu adalah makan sekadarnya daripada makan yang halal." [Kitab Fadhlu al Ilmi wa Adab Talabihi, m/s 222]

07.Tidur yang sedikit
Firman Allah SWT yang bermaksud:"Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa berada di dalam taman-taman (syurga) dan mata air, mereka mengambil apa yang diberikan Tuhan kepada mereka. Sesungguhnya mereka sebelum itu (di dunia) adalah orang-orang yang berbuat baik; mereka sedikit sekali tidur di waktu malam dan pada akhir malam mereka meminta ampun (kepada Allah SWT)." [Az Zariyat 51 : 15 – 18]

08.Kurangkan berkata-kata yang tidak menfaat
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:"Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka bercakaplah dengan perkataan yang baik ataupun diam." [HR Bukhari dan Muslim]

Penyakit Examinitis Menyerang Lagi!

Assalamualaikum..

Kecut perut? Hilang selera makan? Tidur tidak lena? Hilang fokus?

Ini merupakan simptom-simptom serangan examinitis yang selalunya menyerang kawasan kota dan bandar-bandar besar di seluruh dunia.

Penyakit ini tidaklah begitu kronik jika mahu diukur dengan skala kemanusian seperti mana yang dihadapi oleh sebahagian manusia di Palestin, Darfur, Iraq, Filipina, Selatan Thailand dan banyak lagi.


Apatah lagi jika mahu dinilai dengan neraca Ilahi yang mana sesiapa yang mengidapnya akan dirawat di bahagian pesakit luar. Namun setiap yang kecil jika tidak disikapi dan dihadapi dengan cara yang sepatutnya boleh mendatangkan kesan yang amat memudaratkan.

Begitu juga dengan penyakit examinitis ini.

Malahan keaadaan pesakit akan bertambah buruk sekiranya tidak menyedari akan terdapatnya penyakit ini pada dirinya sepertimana keadaan manusia pada hari ini yang kebanyakkannya tidak menyedari akan kesakitan yang mereka hadapi yang menyebabkan mereka terus menerus berada di dalam kesengsaraan. Maka di sini disertakan maklumat lanjut tentang examinitis dan cara menghadapinya.

Nama saintifik :

Examinitis

Golongan sasar yang mudah dijangkiti :

Semua golongan yang berada di institusi-institusi pendidikan terutamanya golongan muda yang berumur 17-26 tahun

Most vulnerable :

1. Pelajar tajaan yang mempunyai perjanjian dengan penaja

2. Ciri-ciri lain yang tidak dapat disenaraikan

Tanda-tanda awal :

1. Sudah tidak PD (baca PeDe atau mudahnya percaya diri)

o Tidak mendapat keputusan yang diharapkan

o Mencuba tetapi masih merasa hampa

o Gagal mengesani punca yang membawa kepada hilang percaya diri

o Tertekan dengan expectation masyarakat (baca bisikan halus dari dalam diri yang mendatangkan gambaran-gambaran negatif)

2. Dan lain-lain lagi yang sukar untuk diperkatakan namun mudah untuk digambarkan

Bagi sesiapa yang mengidapnya, di sini disertakan beberapa kaedah rawatan tradisional yang tidak luput ditelan zaman semenjak ratusan tahun yang lampau.

1. Ambil wudhu dan mulakan analisa diri secara telus dan tulus

o Berikut disertakan sebahagian checklist analisa;

• Keikhlasan niat dan perbuatan

• Usaha yang tersusun dan berterusan

• Kefahaman akan konsep usaha dan tawakal

• Kefahaman terhadap keperluan dan pergantungan kepada Allah

2. Memahami bacaan dalam solat dan zikir al-mathurat sebagai contohnya ayat 286 surah Al-Baqarah :

"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa Dengan berkata):

"Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir."

09 April 2013

Pengerusi BADAR 2012 Cemerlang

Assalamualaikum..

Pengerusi Badan Dakwah dan Rohani
(BADAR) SM Sains Rembau sesi 2012, Muhammad Nabil bin Harun telah berjaya mengulangi kejayaan Pengerusi BADAR SM Sains Rembau 2011, Amir Zani bin Ahmad dengan meraih keputusan semua A dalam peperiksaan SPM yang diumumkan pada bulan lepas. Nabil yang ditemui menyatakan rasa syukur yang tidak terhingga atas kejayaan yang telah diraih dan dicapai dalam peperiksaan yang lalu. 

Selain mengucapkan syukur kehadrat Allah, beliau juga menyatakan kejayaannya ini juga merupakan hasil dorongan dan sokongan daripada guru-guru yang telah banyak memberikan tunjuk ajar semasa dalam pengajiannya di SM Sains Rembau. Semoga kejayaan yang telah dicapai menjadi inspirasi dan panduan kepada para pelajar yang lain untuk mencapai kejayaan yang lebih bermakna selepas ini. 


Majlis Tadarus Al-Quran Daerah Rembau Kali ke 39

Assalamualaikum..
Pada 6 April yang lalu, Sekolah Menengah Sains Rembau telah menghantar 8 orang peserta ke pertandingan sempena Majlis Tadarus Al-Quran Daerah Rembau yang berlangsung di SMA Haji Mohd Yatim, Ulu Gadong. Sebanyak 4 acara yang dipertandingkan untuk Sekolah Menengah dan 5 acara dipertandingkan untuk Sekolah Rendah. 

Antara acara yang disertai ialah Tilawah Alquran lelaki dan perempuan, Hafazan lelaki dan perempuan, Khat lelaki dan perempuan dan Syarahan Spontan lelaki dan perempuan. 

Berikut adalah keputusan yang diperolehi oleh peserta dari SM Sains Rembau : 

Acara Tilawah Al-Quran perempuan : Naib Johan 
( Husna bte Abdul Rahim ) 
Acara Hafazan Perempuan : Ketiga 
( Siti Maisarah binti Aziz ) 
Acara Syarahan Spontan : Ketiga 
( Nor Afiqah binti Kassim) 

Siti Maisarah binti Aziz dan Husna binti Abdul Rahim terpilih mewakili daerah Rembau ke pertandingan sempena Majlis Tadarus Al-Quran Peringkat Negeri Sembilan yang akan berlangsung di SMK Panchor pada hari sabtu 13 April 2013. 

20 Mac 2013

Prosedur Penyerahan Slip Keputusan SPM

Assalamualaikum..

Adalah dimaklumkan bahawa keputusan SPM akan dikeluarkan mengikut tarikh seperti yang akan dihebahkan melalui media elektronik dan media cetak.Majlis penyerahan slip keputusan SPM akan diadakan pada 12 tengahari bertempat di Dewan Dato' Haji Azam.

Sehubungan dengan itu, para pelajar dimohon untuk hadir dengan berpakaian kemas dan mematuhi perkara-perkara berikut:

a) Lelaki : Kemeja, seluar 'slack' dan berkasut
              : Rambut pendek dan tidak berwarna

b) Perempuan : Baju kurung/Baju kebangsaan dan berkasut

*** Jeans dan selipar tidak dibenarkan.

Terima kasih atas perhatian dan kerjasama semua.

Keputusan SPM khamis ini

Assalamualaikum..

Seperti yang telah dihebahkan melalui media elektronik dan media cetak, keputusan SPM 2012 akan diumumkan pada Khamis 21.12.13.

Sehubungan dengan itu, para pelajar SPM 2012 diminta untuk hadir ke sekolah untuk majlis penyerahan slip keputusan yang akan diadakan di Dewan Dato' Haji Azam pada pukul 12 tengahari.

Para pelajar diminta untuk mematuhi etika berpakaian seperti yang telah dimaklumkan sebelum ini. Terima kasih atas perhatian dan kerjasama semua

11 Mac 2013

Peristiwa Penting Bulan Jamadil Awwal

Assalamualaikum..

Jamadil Awal memberi erti permulaan musim sejuk. Dari segi bahasa, ia bermaksud kering atau beku. Bulan ini dinamakan sedemikian adalah kerana dalam bulan tersebut orang Arab pada zaman dahulu mengalami kekeringan air atau air menjadi beku. Pada ketika itu parit, sumur, sungai dan lembah menjadi kering.

Antara peristiwa penting yang berlaku pada bulan ini ialah :

1. Peperangan "Al-'Ashirah" pada tahun kedua Hijrah, dipimpin oleh Baginda s.a.w. Tidak berlaku apa-apa pertempuran disebabkan perjanjian damai yang dimeterai antara Rasulullah s.a.w. dengan Bani Mudlij dan penyokong mereka Bani Hamzah. Baginda s.a.w. bersama sahabat kembali ke Madinah.

2. Peperangan "Zat Ar-Riqa`" pada tahun kedua Hijrah, diketuai oleh Baginda s.a.w. Ianya di satu kawasan di daerah Najd di kediaman Bani Muharib dan Bani Tha`labah dari kaum Ghatafan. Tiada pertempuran dan peperangan yang berlaku, ianya dinamakan Zat Ar Riqa' (yang mempunyai cebisan kain) kerana para sahabat membalut kaki-kaki mereka dengan cebisan kain kerana kepanasan bumi Najd.

3. Perutusan sekumpulan tentera Islam yang diketuai oleh Muhammad bin Maslamah ke "Al-Qussah" seramai 10 orang. Ianya bertujuan memerangi Bani Tha`labah, tetapi perutusan tersebut telah diserang hendap oleh seratus orang Badwi dan membunuh kesemua perutusan itu kecuali Muhammad bin Maslamah yang mendapat kecederaan parah sehingga orang-orang Badwi menyangkanya telah mati. Sekumpulan Badwi yang lain telah membawa beliau ke Madinah untuk mendapatkan rawatan di sana.

4. Peperangan Mu'tah pada tahun kelapan Hijrah. Ianya disebabkan oleh pembunuhan yang dilakukan oleh Syarahbil bin `Amr Al-Futhaniy terhadap seorang utusan Rasulullah s.a.w. iaitu Al-Harith bin `Umair Al-Azdiy dari kaum Bani Lahab. Beliau diutus oleh Baginda s.a.w. membawa sepucuk surat kepada Maharaja Rom atau Pembesar Busra tetapi dia telah ditahan dan diikat oleh Syarahbil lalu dibunuhnya. Rasulullah s.a.w. amat murka dengan pembunuhan tersebut kerana mengikut peraturan pada zaman itu seseorang utusan tidak boleh diapa-apakan sehinggalah dia pulang ke tempat asalnya. Baginda s.a.w. menghantar sekumpulan tentera yang dikepalai oleh Zaid bin Harithah dan berpesan "sekiranya Zaid terkorban, dia hendaklah diganti oleh Ja'afar bin Abi Talib, sekiranya dia terkorban juga Abdullah bin Abi Rawahah akan memimpin tentera tadi". Kesemua sahabat tadi syahid di dalam peperangan itu lalu ianya dipimpin oleh Khalid bin Al-Walid yang telah mengundurkan tentera Islam secara tersusun dan kemas tanpa mengalami apa-apa kehilangan jiwa dan kekalahan.

5. Peperangan Ajnadain pada tahun kelima belas Hijrah. Ianya berlaku di antara tentera Islam yang dipimpin oleh Amru bin Al-`As, Abu `Ubadah bin Al-Jarrah dan Syarahbil bin Hasanah dengan tentera Rom yang dikepalai oleh Wardan di kawasan Ajnadain di Timur Yerusalem (Al-Quds). Tentera Rom tewas di dalam peperangan itu dan pemimpin mereka Wardan juga mati di situ. Ianya berlaku berhampiran bandar Ramallah dan membuka jalan untuk pembukaan bandar Palestin.

6. Kematian Asma' binti Abi Bakar As-Siddiq yang digelar "Zat An-Nitoqain", salah seorang yang dijanji masuk ke syurga Allah s.w.t. dan merupakan orang perempuan kedua yang memeluk Islam selepas Khadijah binti Khuwailid. Beliau meninggal pada tahun 73 Hijrah semasa berumur seratus tahun. Merupakan ibu kepada Abdullah bin Az-Zubair yang telah dibunuh oleh Al-Hajjaj Ath-Thaqafiy.

7. Kematian Abdullah bin Az-Zubair pada 17 Jamadil Awal tahun ke 73 Hijrah yang merupakan anak kaum Muhajirin yang pertama dilahirkan di Madinah semasa penghijrahan orang Islam Mekah ke Madinah. Bapanya Az-Zubair bin Al-`Awwam sepupu Nabi s.a.w. dan ibunya Asma' binti Abu Bakar As-Siddiq, emak saudaranya `Aishah binti Abu Bakar. Beliau syahid dibunuh oleh Al-Hajjaj bin Yusuf pembesar kerajaan Bani Umaiyah.

sumber : Al-Azim.com

05 Mac 2013

Ceramah Bulanan ( Februari )

Pada 23 Februari yang lalu, Jawatankuasa pengurusan Surau dengan Kerjasama Panitia Pendidikan Islam dan Badan Dakwah dan Rohani Sekolah Menengah Sains Rembau telah mengadakan program ceramah agama bulanan. 


Program yang julung kali diadakan ini telah diadakan bertujuan memberikan santapan rohani kepada seluruh warga semesra khususnya pelajar –pelajar sekolah menengah sains rembau. Ceramah telah disampaikan oleh Ustaz Ubaidillah bin Abdul Ghani, Guru j-QAF (SK Batu Kikir). Antara isi penting yang dikupas oleh penceramah berkaitan dengan ciri-ciri pelajar yang cemerlang menurut pandangan Islam yang sebenar.Justeru, para pelajar diingatkan supaya mengamalkan dan memahami segala ciri-ciri yang telah dinyatakan. Majlis berakhir jam 9.30 malam












Penyampaian Sumbangan saguhati kepada penceramah 

Program Tazkirah Ustazah



Pada 22 Februari yang lalu telah diadakan program Tazkirah Ustazah khusus untuk pelajar-pelajar perempuan SM Sains Rembau. Program yang dimulakan pada jam 2.30 petang melibatkan semua pelajar perempuan SM Sains Rembau bertempat di Surau Sekolah Menengah Sains Rembau. 



Majlis telah dimulakan dengan solat zohor secara berjamaah dibawah pimpinan Badan Dakwah dan Rohani SM Sains Rembau dan diteruskan dengan tazkirah muslimat yang telah disampaikan oleh Ustazah Nor Adilah binti Idris ( Ketua Panitia Pendidikan Islam). 




Tazkirah yang disampaikan ustazah banyak berkisar berkaitan dengan sahsiah dan akhlak muslimah. Dalam pada itu, ustazah juga mengingatkan mengenai akhlak dan pergaulan antara lelaki dan perempuan dan adab sesama muslim.