KETIKA ini Mekah semakin padat dengan bakal-bakal haji sementelahan berbaki tiga hari sahaja sebelum wukuf. Didoakan para jemaah haji berada dalam sihat walafiat melaksanakan pelbagai ibadat walaupun dikhabarkan cuaca di Mekah agak panas sehingga mencecah 50 darjah Celsius.
Bagi kita yang tidak berkesempatan menjadi tetamu Allah kali ini, mari kita rebut peluang melakukan pelbagai ibadat sunat dalam 10 hari pertama bulan Zulhijah. Ada beberapa dalil al-Quran dan hadis yang menyebut tentang kelebihannya. Antaranya, firman Allah SWT yang bermaksud: Demi fajar dan malam yang sepuluh. (al-Fajr: 1-2)
Menurut Ibnu Kathir: Yang dimaksudkan di sini ialah 10 malam yang pertama bulan Zulhijah. Demikian juga tafsiran Ibnu Abbas, Ibnu Az-Zubair, Mujahid dan lainnya. (Hadis riwayat Bukhari)
Daripada Ibnu Umar r.a, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah SWT dan beramal padanya lebih dikasihi oleh Allah dari hari-hari yang 10 ini. Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil, bertakbir dan bertahmid”. (Riwayat Ahmad)
Sementara itu, menurut al-Hafiz Ibnu Hajar: Yang jelasnya, di antara sebab keistimewaan 10 hari Zulhijah ialah terhimpun di dalamnya beberapa ibadat yang besar iaitu solat, puasa, sedekah dan haji. Pada waktu lain, ibadat-ibadat ini tidak pernah terhimpun sebegitu.
Oleh itu, marilah kita melipat-gandakan amalan pada bulan ini terutamanya solat. Disunatkan kita keluar awal ke tempat solat fardu (berjemaah) dan memperbanyak solat sunat kerana ia sebaik-baik amalan.
Thauban r.a berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Hendaklah kamu memperbanyakkan sujud kepada Allah kerana setiap kali kamu sujud kepada-Nya, Allah akan angkatkan darjatmu kepada-Nya dan dihapuskan kesalahanmu. (Riwayat Muslim). Ini umum untuk semua waktu.
Antara amalan yang sangat dianjurkan untuk kita laksanakan adalah:
Puasa. Daripada Hunaidah bin Khalid, daripada isterinya, daripada sebilangan isteri Rasulullah SAW berkata: Rasulullah SAW berpuasa pada hari sembilan Zulhijah, pada hari Asyura (10 Muharam) dan tiga hari pada setiap bulan. (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)Mengucapkan takbir, tahlil dan tahmid. Ini berdasarkan hadis Ibnu Umar di atas yang mengatakan: “Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil (mengucapkan La-ilaha-illallah), bertakbir (mengucapkan Allahu Akbar) dan bertahmid (mengucapkan Alhamdulillah)”. Kata Imam Bukhari: “Ibnu Umar dan Abu Hurairah r.a menuju ke pasar pada hari-hari 10 dan bertakbir. Orang ramai yang mendengarnya kemudian turut sama bertakbir”.Puasa pada hari Arafah. Hendaklah berpuasa bagi sesiapa yang mampu pada hari Arafah (9 Zulhijah) kerana amalan ini sabit daripada Rasulullah SAW. Baginda SAW bersabda yang bermaksud: Aku mengharapkan Allah menghapuskan kesalahan setahun yang lalu dan setahun yang akan datang. (Riwayat Muslim) Bagaimanapun, amalan ini hanya disunatkan untuk orang yang tidak mengerjakan haji. Mengenai perbezaan ‘hari wukuf’ Arab Saudi dan Malaysia, kita perlu kembali kepada perbahasan ilmu falak. Secara ringkasnya, umat Islam adalah tertakluk kepada rukyah hilal di negeri masing-masing. Umat Islam di Malaysia tidak perlu mengikuti tarikh Arab Saudi, kerana matla’ (kaedah penentuan anak bulan), kita dan Arab Saudi adalah berbeza. Oleh yang demikian, jangan risau, ikut sahaja tarikh yang ditetapkan oleh pemerintah di Malaysia. Allah, pemilik dan pengurus masa, lebih mengetahui. Sebagai tambahan, tiada istilah ‘hari wukuf’ di Malaysia.
Dalam konteks tahun 1439H (2018), hari melihat anak bulan adalah Sabtu 11 Ogos bersamaan 29 Zulkaedah 1439H. Di Malaysia, anak bulan tidak kelihatan, justeru 1 Zulhijah jatuh pada Isnin 13 Ogos. Sementara di Arab Saudi pula anak bulannya kelihatan, jadi 1 Zulhijah di sana jatuh pada Ahad 12 Ogos.Kelebihan Hari Raya Aidiladha (Yaum an-Nahr) pada 10 Zulhijah. Kebanyakan orang Islam telah lupa akan kelebihan hari ini. Kebesaran dan kelebihan perhimpunan umat Islam yang begitu ramai dari seluruh pelosok dunia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan