14 Februari 2010

Perhiasan Untuk Muslimah : Antara Tuntutan vs Fesyen


WANITA diberikan kelebihan berbeza daripada lelaki. Mereka diberi dua perhiasan - tersembunyi dan nyata. Perhiasan tersembunyi adalah keindahan tubuh badan yang tidak boleh dilihat kecuali oleh orang tertentu seperti suami. Perhiasan nyata adalah muka dan pergelangan tangan.

Perhiasan tersembunyi ini biasa disebut aurat. Di sisi agama, perempuan mukmin wajib menutupnya supaya tidak dilihat sebarangan orang. Perintah menutup aurat ini datang daripada Allah.


Firman-Nya, bermaksud: “Dan katakanlah kepada perempuan mukmin supaya menyekat pandangan mereka daripada melihat yang haram dan memelihara kehormatan mereka dan jangan mereka memperlihatkan perhiasan tubuh badan mereka kecuali yang lahir. Dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka.” - (An-Nur: 31).

Menurut al-Qurtubi, sebab turun ayat ini ialah pada masa itu kaum wanita apabila menutup kepala dengan ‘khumur’ (semacam kain tudung) maka mereka tarik ke belakang sehingga leher, dada dan telinga terdedah. Maka Allah memerintahkan mereka menutup bahagian hadapan, termasuk dada, leher, telinga dan rambut. - (Fatwa al-Qardhawi)

Selepas turun ayat itu, wanita mukmin segera mengoyakkan kain untuk menutup apa yang terbuka. Aisyah sendiri pernah menegur tudung Hafsah, anak seorang saudaranya. Hafsah datang dengan bertudung menutup leher tetapi nipis. Kata Aisyah: “Ini amat nipis, tidak dapat menutupnya.”

Dalam ayat al-Quran yang terdahulu, Allah melarang wanita mukmin memperlihatkan perhiasan (tubuhnya) kecuali yang lahir (yang biasa nampak seperti tangan dan muka).

Dr Yusof al-Qardhawi berkata: “Ulama terdahulu hingga kini tidak ada yang mengatakan rambut wanita, termasuk pehiasan yang lahir.”– (Fatawa al-Qardhawi). Mafhumnya, ulama semua peringkat menyatakan rambut wanita adalah aurat.

Ibnu Masud pula mengatakan: “Perhiasan yang lahir ialah pakaian.” Ibnu Jubair menambah: “Termasuk yang lahir itu ialah wajah”. Namun Said bin Juabair menokok lagi dengan mengatakan: “Wajah, kedua tangan dan pakaian,” manakala Ibnu Abbas mempunyai pendapat lain. Katanya: “Perhiasan yang lahir ialah celak, perhiasan dan cincin yang dibolehkan”.

Mengenai hal menutup aurat, Aisyah pernah menceritakan teguran Rasulullah terhadap Asma binti Abu Bakar. Ketika Asma menemui Rasulullah, dia memakai pakaian nipis. Rasulullah lalu menegurnya.

“Wahai Asma, sesungguhnya jika seseorang perempuan sudah sampai masa haid (baligh) maka tidak layak baginya menampakkan kecuali yang ini (baginda mengisyaratkan pada muka dan tangannya). Daripada beberapa keterangan itu nyatalah wanita Islam wajib menutup perhiasan yang tersembunyi

Tiada ulasan: