18 Ogos 2010

Puasa Perisai Mukmin

Assalamualaikum Wrt Wbt dan Salam Sejahtera

Alhamdulillah pada hari ini kita telah pun berada pada hari yang kelapan dalam bulan ramadhan dan sewajarnya kita mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT kerana masih lagi memberikan peluang kepada kita untuk merasai nikmat berpuasa didalam bulan Ramadhan bulan yang penuh dengan seribu satu rahsia khususnya bagi ummat Muhammad SAW.

Berpuasa atau pun dalam bahasa arabnya "Shoum" yang membawa maksud menahan diri dari segi takrifan bahasanya adalah salah satu daripada syariat yang dibawa oleh Nabi SAW. Berpuasa bukan sahaja khusus untuk Ummat Muhammad sahaja bahkan ianya telah lama menjadi syariat bagi ummat-ummat yang terdahulu daripada itu sepertimana yang dirakamkan oleh Allah SWT dalam Al-Quran dalam surah Al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud " Wahai Orang -orang yang beriman, telah diwajibkan kamu berpuasa sepertimana orang-orang yang sebelum kamu moga-moga kamu menjadi orang yang bertaqwa".

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa puasa bukan satu perintah dan arahan yang baru bagi ummat Muhammad SAW sahaja tetapi telah menjadi perintah dan suruhan untuk ummat terdahulu daripada itu cuma yang membezakan adalah cara perlaksanaan puasa ummat terdahulu dengan Ummat Muhammad.

Puasa juga dikatakan sebagai perisai bagi orang-orang mukmin sepertimana yang dinyatakan diawal perbahasan ini, melalui maksud menahan diri. Dengan puasa seseorang itu akan dapat menahan dirinya daripada makan dan minum serta perkara-perkara yang terlarang dan melalaikan. Sabda Rasulullah SAW " Barangsiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan ketaqwaan nescaya akan diampunkan segala dosa-dosanya yang terdahulu". Demikian lah takrifan puasa yang dapat dirungkaikan bersempena dengan Bulan Ramadhan yang mulia dan penuh kerahmatan ini. 

Tiada ulasan: