21 Julai 2013

Pelancaran Program Ihya' Ramadhan 2013

Assalamualaikum dan salam sejahtera Pada 15 Julai yang lalu, Panitia Pendidikan Islam dengan kerjasama Badan Dakwah dan Rohani Sekolah Menengah Sains Rembau telah mengadakan Majlis Pelancaran Program Ihya' Ramadhan - Dekat Dihati 2013. Program yang merupakan salah satu dari agenda tahunan Panitia Pendidikan Islam Sekolah Menengah Sains Rembau ini telah selamat dirasmikan pelancarannya oleh pengetua kanan SMESRA, Puan Hajah Norzila binti Idris. 

Antara objektif program ihya' ramadhan pada kali ini ialah memberi kesedaran kepada semua mengenai kepentingan menghidupkan bulan ramadhan serta memberikan peluang kepada para pelajar dan guru untuk sama sama mengimarahkan bulan yang mulia ini. Antara pengisian yang telah dirancang dan dijangka berlangsung sepanjang bulan ramadhan ini ialah program tadarus AlQuran, solat tarawih, iftar jamaie, pertandingan ramadhan kreatif dan sebagainya. 

Majlis dimulakan seawal jam 7.15 pagi bertempat di Dewan Dato' Haji Azam, Sekolah Menengah Sains Rembau. Majlis diteruskan dengan bacaan ayat-ayat suci Al Quran yang telah dibacakan oleh dua orang pelajar tingkatan dua. Selepas itu, majlis telah diteruskan dengan slot Ahlan Ya Ramadhan yang telah disampaikan oleh Ustaz Nadzdzarul Amir bin Mohyeddin, Guru Pendidikan Islam Sekolah Menengah Sains Rembau. Dalam tazkirahnya, ustaz telah mengingatkan hadirin sekalian supaya mengambil peluang yang ada dalam bulan ramadhan untuk memperbanyakkan amal ibadat serta amalan sunat. Ini kerana sepanjang bulan ramadhan segala amalan yang dilakukan pasti akan dilipat gandakan.

 Justeru mengimarahkan ramadhan adalah satu keperluan yang dituntut dalam Islam. Dalam ucapan perasmian pula yang telah disampaikan oleh puan pengetua, beliau mengingatkan kepada warga sekolah khususnya para pelajar untuk mengambil kesempatan dan peluang yang ada sebagaimana yang disampaikan oleh ustaz serta berusaha untuk memajukan diri dalam mengejar kecemerlangan tak kiralah dalam bidang akademik mahupun pembangunan sahsiah pelajar. Dalam kesempatan itu juga, puan pengetua turut mengingatkan kepada semua agar dapat mengisi kekosongan masa dengan ibadat yang berterusan dan bukan hanya setakat pada bulan ramadhan sahaja malahan dalam bulan-bulan yang lain. Beliau turut menyampaikan risalah Ramadhan kepada setiap wakil tingkatan untuk diedarkan kepada para pelajar yang lain.

Tiada ulasan: